Monday, November 06, 2006

Hari Selepas Hari Raya

Lapangan terbang Kota Kinabalu petang hari minggu itu jadi macam tempat berpesta. Pesta air mata, tapi sayu ditambah dengan suasana petang yang redup. Teringat saya pada cerita puteri gunung ledang, air mata ntah berapa tempayan perlu dipersembahkan padanya. Tapi cerita petang itu lain, tiada kaitan dengan cerita puteri gunung ledang, ini cerita biasa tentang pertemuan dan perpisahan.

Perhatiaan saya disebuah sudut kosong, berkumpul sebuah keluarga. Seorang wanita, entah siapa dia, barangkali seorang kakak, yang sekejap lagi akan masuk ke balai perlepasan meninggalkan adik-adiknya diluar, seorang demi seorang berpelukan denganya sambil air mata mereka jatuh tanpa was-was pada kedua mereka, mata mereka merah, pipi mereka basah. Saya berpaling ke arah lain mengelak melihat aksi begitu. Mendung hati saya. Di sudut lain, sepasang tua tak habis-habis memeluk dan mencium cucunya, saya pasti itu cucunya. Berat hati agaknya melepaskan cucu kecil mereka itu pergi. Seketika kemudian dua orang tua itu ditinggalkan diluar, cucunya dibawa pergi ibubapanya, mereka cuma mampu melambai sebagai tanda selamat jalan. Itu gambaran. Gambaran sedih petang itu.

Cerita petang itu bukan sebuah cerita yang perlu sangat untuk kita dengar. Itu cerita biasa. Namun, masih tetap saya anggap penting. Saya tau lah sebab saya juga orang Sabah. Sebuah tempat yang jaraknya berpuluh ribu kilometer dari Kuala lumpur. Perlu masa dan sejumlah wang yang banyak untuk urusan ulang alik. Berbeza dengan mereka yang kampungnya di Kuala kangsar atau di Rompin yang boleh pulang sebulan sekali sekurangnya. Pulang setahun sekali itu adalah cerita-cerita biasa kebanyakan orang-orang Sabah. Dan mungkin sebab itulah tarikh hari raya adalah antara tarikh terpenting pada sesetengah orang sabah seperti juga saya.

Ini semua desakan. Desakan hidup. Dan desakan inilah yang menyebabkan cerita-cerita petang itu sering saja berulang setiap kali saya datang ke lapangan terbang untuk pulang ke sini selepas berhari raya di kampung.

....................................
Playlist: Cripple Bastard,Gride,J-rocks,Elle A,The monophones,Aku