Wednesday, May 25, 2011

Pengajar

Saya membelek-belek sebuah fail lama yang sudah sedikit diliputi habuk, didalamnya saya terjumpa sekeping penanda buku kecil berwarna biru, sudah sedikit usang tapi masih kemas.

Penanda buku yang sederhana, Dipermukaanya tertulis kata-kata pembakar semangat. Penanda buku ini pemberian guru kelas saya sewaktu kami berada di akhir-akhir masa persekolahan dulu, seorang guru kelas yang cantik dan sederhana. itu cerita berbelas tahun lalu.

Dulu cikgu ini pernah bercakap tentang kehidupan diluar sana, kata-katanya lebih kurang supaya kita tidak meletakkan masa depan kita sepenuhnya disatu sudut. banyak lagi sudut-sudut lain kehidupan yang perlu ditelusuri.kata-katanya membuat saya sedikit resah waktu tu, tapi sekarang ianya nampak lebih menyakinkan.

Malam dulu saya mengirim sms kepada seorang kawan sebagai ucapan selamat hari guru padanya. tulisanya begini "Guru adalah Orang yang tak hanya mentransfer sebuah pelajaran, tapi juga yang secara perbadi menjadi sahabat dan pembimbing spiritual bagi muridnya". kata-kata yang saya copy dari novel laskar pelangi.

Sunday, August 22, 2010

Berbuka dan bercerita

Petang tadi saya berkesempatan berbuka bersama beberapa orang kawan, selepas membaham seperti biasa akan ada banyak sekali cerita-cerita yang akan dikongsikan bersama rakan semeja ditambah pula hujan masih turun renyai-renyai dan ini menandakan kami harus terus duduk di situ lalu membakar hujung rokok yang sekian kalinya.

Topik filem tidak lepas diperbualkan, dan saya agak tidak terupdate dalam topik ini terutamanya apa filem yg sedang panas di tayangkan di pawagam sekarang ini. Seingat saya filem terakhir yang saya nonton di pawagan ialah Iron Man itu pun sudah masuk minggu terakhir penanyangan.

Tidak tau bagaimana Mazlan boleh terkeluar pula cerita filem Artificial Intelligence (Ai) ..Sebuah filem arahan Steven Speilberg. Kebetulan pula filem ini pernah saya nonton... Bagi saya filem ini cuba mengangkat tema hubungan kasih sayang dan ianya dipersembahkan di dalam filem ini dengan sangat beerti dan baik sekali.. dalam erti kata lain ianya sangat menyentuh la.

Dulu waktu kali terakhir saya menonton filem ini saya bercadang untuk membeli DVDnya untuk di buat koleksi tapi terbengkalai dimakan keterlupaan.

Wednesday, September 09, 2009

Hujung minggu ini saya akan ke Lapangan Terbang untuk menjemput dua orang kawan yang akan pulang Berhari Raya. Mungkin hujung minggu ini adalah minggu permulaan kerumunan warga bandar mula pulang ke kampung. Bermulanya kepulangan orang-orang dari bandar untuk beraya di kampung beerti kita semakin menghampiri hujung bulan ramadan dan kita semakin menghampiri bulan syawal.

Perbualan saya dengan seorang kawan beberapa hari lalu tentang bulan ramadan mengembalikan ingatan saya pada seorang kawan lama, seorang pengembara muda Amerika yang sempat singgah di Malaysia dan tinggal beberapa hari di rumah seorang kawan saya. Saya masih ingat waktu saya berbual-bual denganya sambil mengisap rokok Gudang Garam, dia amat menyukai rokok tersebut kerana menurutnya rokok tersebut manis.

Katanya lagi "Puasa mengajar saya menghargai makanan" itu diucapkanya selepas ikut berpuasa sama, kerana kebetulan waktu itu bulan Ramadan. saya kurang tau berapa hari dia ikut berpuasa. Setau saya dia bukan seorang muslim, cuma mau merasakan bagaimana pengalaman berpuasa barangkali. Saya melihat dia sebagai seorang yang pandai menghargai pengalaman perjalanan hidupnya, mencari rasional dari apa yang diperbuat. Apa yang lebih penting dari mendapat kepuasan atau makna dari apa yang telah kita lakukan.

Setidaknya dia sudah punya alasan kenapa dia berpuasa. Sikap yang perlu dikembangkan tidak sekadar dalam berpuasa tapi pada setiap apa yang kita lakukan.

Saya merenung banyaknya juadah yang terhidang di atas meja dan memikirkan kembali kata-kata pengembara muda itu, "Puasa mengajar saya menghargai makanan".


Band2 yg menguja waktu ini: Cats on Fire - Our Temperance Movement, Cross Examination - Menace II Sobriety, Mighty Lemon Drops- world without end, ROT - a long cold stare, Jedi Mind Tricks - A History Of Violence, Fistfuck-Rock N Roll Nightmare

Thursday, September 03, 2009

Selamat menyambut Merdeka!!



Sekian lamanya baru saya tau yang lagu "Tanggal 31 Ogos" itu bukan dinyanyikan oleh Sudirman Haji Arshad pada asalnya. Beginilah kalau malas mau mengkaji sejarah, semuanya mau disuap. Sudirman hanya mengkover lagu Ahmad CB. Liriknya juga sudah sedikit diubah, yang saya sempat perasan ialah perkataan "Bangsaku Merdeka" pada asalnya telah diubah kepada "Negaraku Merdeka" dalam versi Sudirman yang selalu kita dengar.

Sumber yang saya perolehi dari internet menyatakan nama sebenar Ahmad CB ialah
Ahmad Chass Barra, merupakan penyanyi di era 60/70an, berasal dari Indonesia tapi menjadi pemastautin tetap semenjak 1979 (Penduduk Tetap, pemegang kad pengenalan merah waktu itu kalau tidak silap saya).

Untuk mengetahui beberapa lagi perkara yang mungkin kita tidak tau berkaitan kemerdekaan sila klik disini

Friday, June 26, 2009

Selamat Jalan Michael Jackson'

Pagi tadi saya disambut dengan kabar kematian Michale Jackson sejurus saya menjejakkan kaki keluar dari tandas. Ternyata hari ini kawan saya itu lebih dulu membuka komputernya daripada saya.

Selepas membaca beberapa rangkaian berita di internet, saya mempost serangkap ayat di buletin myspace tentang kematian MJ, saya menyatakan yang kematianya ini mengembalikan ingatan saya pada zaman sewaktu sekolah rendah saya dulu. Tarianya yang unik, siapa yang tidak terpikat dengan tarian Moon walk dan anti gravitynya. Jaket merahnya dan stokin putihnya dipadankan dengan kasut hitam.

Saya bertanya kepada seorang kawan saya tentang impak kematian MJ padanya, dan ternyata pendapatnya sama seperti saya, mungkin kerana dia juga lahir pada sekitar tahun 80an dan membesar ditengah tengah naiknya nama MJ pada waktu itu. MJ adalah icon populariti tahun 80an dan akhir tahun 90an tambahnya.

Saya masih ingat waktu itu, saya begitu ketagih bermain game MJ di sebuah kedai game. saya sangat mengaguminya sebagai hero dalam game itu membunuh zombie-zombie, ditambah dengan lagu "Beat It" dan "Smooth Criminal" menambahkan lagi semangat.Begitu populariti MJ waktu itu tidak habis dengan jualan album atau merchandise lainya tapi sampai ke perisian game.

Oleh kerana game ini masih baru dan adalah satu-satunya mesin game yang ada di pekan itu maka berduyun duyun la mat-mat game membanjiri kedai itu padahal gamenya cuma ada satu. Disebabkan situasi ini saya jadi jarang mendapat peluang bermain game itu. Orang-orang yang jauh lebih dewasa lebih memonopoli game itu. Lumrah orang yang lebih berkuasa.

Hari ini hampir seluruh masyarakat dunia menyaksikan kepergian MJ. Antara saya dan MJ ada ceritanya sendiri. MJ menyimpan memori masa lalu saya. Selamat jalan Michael Jackson. Rest in peace.

Sunday, June 14, 2009

Kek Coklat

Saya mengunyah sepotong kek coklat petang itu sepulang dari kerja.. saya mengunyah perlahan lahan dengan harapan saya dapat betul-betul menikmati rasanya, rasa coklatnya masih pekat walaupun sudah semalaman di dalam peti ais, saya menghayati setiap kunyahan demi kunyahan.. saya dapat merasakan ketulan-ketulan kacang lebih dari satu jenis dicampur dengan krim coklat pekat, memang sedap. Sesekali saya mengalihkan pandangan pada kotaknya yang sudah saya lempar terlebih dahulu ke dalam tong sampah, padanya tertulis Secret Recipe, peduli la dengan jenamanya.

Semalam saya cuma makan secubit dua, tiada selera agaknya atau mungkin takut sakit tekak atau mungkin juga saya memang kurang selera waktu itu.bercampur baur. Tapi petang ini saya sangat menghargainya.Memang lumrah kalau banyak kita akan kurang hargai tapi kalau sikit barulah kita akan menghargainya. Mungkin juga kerana baru saya betul2 terperasan yang saya memang seharusnya sangat-sangat menghargai pemberian org ini.

Semalam pintu rumah saya diketuk, bila membukanya saya dapati seorang yang saya amat kenali memegang kek empat segi dengan lilin diatasnya.. dengan senyuman dia mengucapkan selamat hari jadi kepada saya..terima kasih.

Monday, May 11, 2009

Selamat Hari Ibu


Baru saya terperasan yang video diatas ini masih lagi tersimpan di dalam external hardisk saya semalam. Secara kebetulan juga, menonton kembali video ini mengingatkan saya bahawa hari ini adalah Hari Ibu sedunia. Video ini saya download beberapa bulan lalu untuk dihidangkan pada ibubapa saya di kampung bila saya balik nanti, saya berpendapat yang ibubapa saya perlukan sedikit pembaharuan bahan tontonan selain menonton tv. Ternyata mereka menyukainya.


Video diatas mungkin sebuah video musik berbajet rendah yang dibuat untuk tujuan dibuat vcd karaoke.Video ini menunjukkan seorang awek cun yang juga merupakan si penyanyi bernama Dian Ekawaty dalam dua situasi dan lokasi berbeza, Satu dalam keadaan dia berbaju Bodo, baju tradisi bagi wanita-wanita Bugis dan satu lagi dalam keadaan duduk di tangga bersama ibunya di sebuah rumah kampung.


Sayang sekali bahasa Bugis saya tidak banyak, saya cuma paham sikit-sikit sekaligus menjejaskan pemahaman saya tentang apa yang cuba diceritakan oleh sang penyanyi. Nasib baiklah saya tidak buta bahasa bugis sepenuhnya. saya masih boleh paham walaupun sedikit, Menurut apa yang saya paham dan dibantu juga dengan apa yang kita sama-sama lihat pada video ini, lagu ini menceritakan tentang penghargaanya pada jasa-jasa ibunya. Juga tentang kekesalan yang akan ditanggung kepada mereka yang tidak menghargai jasa ibunya. Begitu la lebih kurang apa yang saya paham..


Saya masih berfikir apa hadiah yang patut saya belikan untuk ibu saya sempena hari ibu tahu ini?? kasi cadangan.. selamat hari ibu!!.

Thursday, March 26, 2009

Cinta Adalah Channel TV

"Aaa, my man... cinta adalah channel TV! Tak suka acaranya, raih remote-mu, ganti saluran, beresssss.!"

Saya menemui kata-kata ini disebuah novel berbahasa Indonesia yang saya donlod setahun lalu di internet. Baru sekarang saya berkesempatan membacanya. Sebenarnya saya juga sudah lupa akan kewujudan file ini, nasib baik la malam ini saya sedikit rajin mengeledah file-file lama di dalam hard disk ini.

Melalui unkapan ini saya beranggapan kita sebenarnya memegang dua watak sekaligus iaitu Penonton dan si Rancangan sekaligus.

Bagaimana kalau suatu hari nanti kau menjadi sebuah rancangan yang membosankan? seperti Drama-drama yang menceritakan tentang kemewahan, kisah percintaan dan kesedihan. Mungkin suatu hari nanti bila kau menjadi lebih dewasa, kau akan hilang minat pada Sesame Street atau Bugs Bunny dan mula meminati rancangan-rancangan seperti Akademi fantasia atau Temubual artis.

Dulu kau pernah berkata kau suka pada rancangan ini dan tidak menghairankan kalau suatu hari nanti kau akan melafazkan "bosan la rancangan ni".. lalu kau akan meningalkanya atau kau akan ditinggalkan.


Nota: Selamat ulang tahun untuk Ewan Salam

Thursday, February 26, 2009

Menunggu abang posmen tiba!

Tadi di kedai buku di tengah bandaraya Kota Kinabalu saya membelek belek sebuah buku comel berwarna hitam dihiasi dengan corak hati berwarna warni membuatkan setiap orang yang memandangnya pasti terasa ingin meyentuhnya. Tajuknya "Love Letters of Great Man". Pada muka pertamanya tertulis kata penghantar tentang surat-surat cinta yang sudah tidak laku lagi dizaman ini. Begitu lebih kurang. Oleh kerana kawan saya yang sudah ingin beredar dari kedai tersebut maka bacaan saya waktu itu habis disitu saja.

luahan cinta tidak memerlukan si teruna menghabiskan dakwat penya untuk mengukir ayat-ayat power berbunga bunga hanya untuk meluahkan rasa cintanya, itu zaman nenek-nenek kita boleh la. Si pencinta wanita zaman ini cuma perlu menaip pesanan ringkas untuk temu janji.

Saya jadi teringat pada surat yang saya tulis dua minggu lalu tapi belum-belum juga dipos, surat itu sebenarnya untuk seorang kawan yang saya tidak kenali di seberang lautan sana, alamatnya saya temui di sebuah zine. Dalam zine itu ada emelnya tapi sebab ingin merasa pengalaman menulis surat maka saya tulis juga, semoga saya diberikan semangat dan tidak dibelenggu rasa lupa lagi esok hari agar dapat saya pos surat saya ini.

Saya juga teringat pada cerita adik saya, dia pernah dibawa ke sebuah restoran oleh seorang kawanya yang tiba-tiba baik hati untuk membelanjanya makan dan minum waktu itu, dengan rasa sedikit tergamam dia hanya menurut, selesai ritual makan dan minum dia disuruh menulis sepucuk surat kepada kekasih si pembelanja makan dengan alasan tulisanya adik saya lebih baik dan dia boleh membina ayat-ayat yang lebih bagus. Ketawa saya mendengarkanya.

Dalam filem "Äideistä parhain" (Mother of Mine) cerita yang mengisahkan seorang kanak-kanak yang dipisahkan daripada ibunya oleh kerajaan Poland untuk dihantar ke Sweden dan tinggal bersama keluarga angkat disana, Sebuah program kerajaan untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa perang. Hanya surat yang dibawa oleh Posmen menjadi perantara kanak-kanak tersebut dan ibunya, Setiap hari dia akan duduk di pagar rumah menanti sang posmen datang membawa kata-kata rindu ibunya.

Seorang penulis di sebuah majalah dulu menyatakan tentang matinya keromantikan mengirim surat, sang kekasih sudah tidak lagi resah dan berdebar debar menunggu abang posmen datang membawa kabar dari kekasihnya. Kini abang posmen hanya berfungsi sebagai pembawa bil-bil astro atau surat tuntutan hutang dari PTPTN.

Saturday, February 14, 2009

Catatan sehari selepas hari kekasih

Saya membaca sebuah entry personal yang kadang-kadang menggelikan hati di blog Pika, (Pika kawan si yan), akhir dari entry itu menyatakan yang dia tidak menyambut valentine day, kerana orang islam tidak menyambutnya.. mungkin kerana dia percaya yang itu adalah budaya orang-orang kristian dan tidak patut dirayakan olehnya yang beragama islam.

Cakap-cakap begini bukan pertama kali saya dengar, saya sudah mendengarkanya lama dulu. Tulisan Pika itu membuat saya ingin mencari tulisan-tulisan lain mengenai hari valentine di google, saya menemukan banyak tulisan-tulisan yang berkait dengan valentine, kebanyakanya sama saja, melarang, mengharamkan dan menghukum.

Antaranya ada yang mengatakan "murtad menyambut valentine day", ada juga tulisan yang mengatakan "menyambut Valentine day adalah sama dengan menyokong kehancuran kerajaan islam di cordova pada zaman itu", gementar anak-anak muda mendengarkanya.. cari la sendiri di google. Tapi saya tertarik pada sebuah tulisan lama dari fathi aris omar mengenai Valentine day, yang satu ini lebih menyegarkan. Disini Fathi ingin meluahkan rasa terkejutnya dengan fatwa PAS waktu itu.

Antara lainya dia berkata dalam tulisanya "PAS hari ini mengeluarkan fatwa baru yang sekali gus mengkuduskan St Valentine, atau Valentine sang Wali, seorang pejuang keadilan dan sekali gus hak asasi berdepan dengan pemerintah yang sangat zalim." tulisan penuh boleh di baca disini.

Valentine adalah simbol kepada kemenangan cinta, perjuangan melawan kezaliman kuasa dan lambang kepada sebuah kebebasan.

-------
Dengar: Resist - Doscography, Tragedy - Nerve Damage, Shikari - Robot wars,
Makan : Mee goreng ayam
Minum : Nescafe panas
Baca : Catatan si malin Kundang - Antologi esei Umar Junus
Lain-lain : facebook.com

Wednesday, December 31, 2008

Kabar Pagi Hari

Saya merasakan saya sangat teliti dalam satu-satu perkara..oh yaa cuma dalam satu-satu perkara saja.. mengutamakan kesempurnan dalam merealisasikan keinginan, kualiti atau mutu, sekaligus ini membawa kepada banyak mepersoalkan satu-satu perkara atau benda barangkali.

Pagi ini saya bangun disusuli dengan nafsu yang membuak buak mau mendengar lagu dari Final Draft, band Powerviolence asal Negara yang akan berpresidenkan Obama ini, entah mimpi apa saya semalam. Namun Keinginan saya ini dicacati dengan ketidakmampuan speaker lapuk ini berfungsi dengan baik.. puas saya memusing kabelnya dan saya harus berhenti sebelum lebih banyak masa terbuang tanpa hasil yang belum pasti. Memang dari semalam saya sudah menjeling jeling kearah dinding cermin kedai Elektronik di One Borneo, mejenguk Ke arah Speaker yang pasti membuatkan saya puas, tapi sayang saya belum berkemampuan untuk semua itu, tunggu saja la nanti.

Kejadian pagi ini juga membuat saya kembali merenung erti menghargai kesempurnaan satu-satu perkara yang kita lakukan. Perlakuan adalah dorongan dari sebuah rasa keinginan, tidak kira la keinginan itu negatif atau positif.. disusuli dengan darjat hasil dari perlaksanaan..sempurna, sederhana atau gagal samasekali.. sebuah rasa yang patut dihargai barangkali. Dulu saya pernah menonton sebuah show band.. dimana setting untuk set mereka memakan hampir 2 jam demi untuk merealisasikan keinginan mereka, saya bukan mau bercerita tentang kalau setting lama maka hasilnya pun bagus tapi ternyata status sesebuah band itu tidak mempengaruhi keinginan mereka, sound yang baik tidak cuma untuk band-band yang besar yang mampu bermain di konsert-konsert besar, tapi keinginan itu datang dari kemahuan mereka, semuanya atas dasar mau melakukan sesuatu dengan sempurna, apa yang dilakukan bukan hanya untuk telinga sang penonton tapi juga untuk telinga dan hati sang pelaksana.

Mungkin ini cuma cermin dari sesebuah perkara lain, rasanya keinginan untuk melakukan dengan baik tidak sepatutnya habis pada kemahuan untuk mendengarkan lagu Final Draft saja rasanya .. saya tidak fikir saya mampu melakukan semuanya dengan sempurna.

---------------------

Phobia - 22 Random act of violence, Roskopp, Martyrdöd - St, Gorerotted - Only Tools And Corpses , Lahar - Obeti Doby, Ladytron - Witching hour

Tuesday, August 26, 2008

Masa Muda

Dua bulan lalu handphone yang saya pakai ini bertukar status daripada dibagi saja-saja kepada sebuah pemberian hadiah hari jadi. Saya pasti yang kakak saya, sewaktu memindahkan data-data dari handphone ini ke handphone barunya terbaca sms ucapan selamat harijadi daripada seorang kawan saya waktu itu.

Goenawan berkata yang tahun adalah seperti cermin. Di depanya kita melihat wajah kita yang semakin menunjukkan perbezaan. Jika kita merayakan ulang tahun ke 28 hari ini kita pasti tidak akan melihat lagi diri kita menjadi 28 lagi di lain hari.

Tidak lama dulu saya pernah menghantar msg selamat ulang tahun kepada seorang kawan bunyinya lebih kurang berbunyi - betapa ghairah kehidupan membuat kita tidak pernah merasa tua.. kita akan membiarkan usia berlalu begitu saja tapi jiwa kita masih kekal di satu tahap yang sama.

Thursday, June 26, 2008

EURO 2008 Against Rasisme!!

saya masuk ke bilik menyambung tidur malam tadi selepas siaran langsung perlawanan bolasepak euro terganggu. Saya tinggalkan Jerman dan Turki menentukan nasibnya masing-masing. Pagi tadi di pejabat saya semak keputusan perlawanan melalui internet. Dan Jerman lebih bertuah, bermakna peluang sudah terbuka untuk mereka menjadi juara bola sepak eropah tahun ini.

Satu benda yang membuat saya kagum pada perlawanan semalam itu ialah terdapat papan-papan tanda yang di sekeliling padang bertulis "UNITE AGAINST RACISM". Saya kurang ambil tau dan hanya melihat perlawanan euro 2008 ini kalau ada kesempatan terluang saja sebenarnya, sehinggalah rasa ingin tau saya tentang papan tanda itu saya temui jawapanya di internet.. menurut artikel yang saya baca sebelum perlawanan bermula kedua dua kapten pasukan berdiri di tengah padang berikrar untuk melawann rasisme. Kempen tersebut adalah hasil kerjasama antara Football Against Racism in Euro (FARE) dengan UEFA dan FIFPro.

Saya agak terharu dengan keprihatinan yang sebegini. Saya sendiri sering berhadapan dengan perkara-perkara yang berbau rasisme dan saya merasakan betapa pentingnya penerapan tentang pemahaman terhadapa rasisme itu dipelajari, diperbandingkan dan diperbincangkan lalu diperhalusi.

Thursday, May 29, 2008

Kematian

Saya mengirim sebaris sms sebagai ucapan takziah saya kepada seorang kawan di kampung halaman sana atas kematian adiknya semalam sebagai tanda saya turut berdukacita. Menurut cerita yang saya terima kematianya berpunca dari kemalangan jalan raya. Saya tidak ingat dan mungkin tidak kenal langsung adik kawan saya itu sebenarnya.

Saya pernah terbaca sesuatu yang menyebut bahawa pemikiran terbahagi kepada tiga wilayah iaitu 'terpikirkan’ (the thought), ‘yang tak terpikirkan’ (the unthought), ‘yang tak boleh dipikirkan’ (the unthinkable) dan tema kematian mungkin adalah sesuatu yang tergolong dalam wilayah the unthinkable, dan tugas kita adalah membuatnya menjadi the thought. Ini terbukti berdasarkan fakta bahwa tema kematian, walaupun sudah dikaji sejak ribuan abad lampau oleh Epicurus dan para pemikir Stoa, tapi baru mendapat perhatian serius secara sistematik pada era Eksistensialisme modern (via Heidegger, Sartre, Jaspers, dan lain-lain).

Setiap tahun kita mengenang tragedi-tragedi kematian yang pernah terjadi dalam sejarah kehidupan manusia. sebut saja tentang Hiroshima, Perang penaklukan US ke atas Iraq atau Penghapusan kaum di Bosnia. Sekadar menyebut beberapa tragedi. Dan atas sebab-sebab inilah pada satu perspektif lain kematian yang pada mulanya adalah sesuatu yang menakutkan boleh saja bertukar menjadi sesuatu yang menghairahkan kehidupan, bak kata para thrasher "life short play fast".

Thursday, December 20, 2007

Kumpulan Cerita Suka, Duka, Pulang dan Balik

Saya mengirim sebaris komen kepada seorang kawan di Friendster.com bertanyakan apa dia akan balik menyambut krismas di kampungya nanti. Sengaja saya tanya-tanya, mengeratkan lagi silaturahim lah katakan. Semalam juga sepupu saya sudah bertanyakan tentang bila kami akan beli tiket untuk balik berhari raya tahun depan, nampak betul semangatnya untuk balik pulang ke kampung.Balik ke kampung memang manghairahkan jiwa bagi sesetengah orang, apa lagi bagi kami-kami yang kampungnya jauh nun dibawah bayu sana. Saya tau banyak dari kami-kami ini hanya berkesempatan balik setahun sekali sahaja dalam tenpoh setahun, tidak kiralah sama balik untuk menyambut hari raya aidilfitri, Krismas atau Kaamatan. Senyuman pasti akan terukir sejak seminggu sebelum tarikh penerbangan balik, semua aktiviti atau kerja-kerja di pejabat akan serba tak jadi. Jantung pasti berdegup lebih kencang bila teringat orang-orang tersayang, kawan-kawan dan macam-macam lagi benda yang telah ditinggalkan sekian lamanya. Pokoknya balik ke kampung memang mengembirakan hati lah.

Hati akan mula diselubungi awan hitam bila masa pulang semula ke KL tiba, Lagi parah bila fikiran mula terbayangkan begitu banyaknya kerja-kerja di pejabat yang akan menyambut kepulangan kita nanti. Melihatkan kampung yang sunyi dengan bunyi kereta dan segala macam kepesatan kota, malam pula yang sejuk lagi sunyi membuatkan rasa malas nak balik bertambah mengikat ketat diri untuk terus duduk di rumah saja bermalas malasan. Gara-gara semua itu saya pernah membiarkan tiket penerbangan balik saya ke KL burn begitu saja, itu 2 tahun lalu. Habis hangus tiket berharga RM400 waktu itu dibakar rasa puasnya hati saya dapat sambung cuti di kampung waktu itu. Memang betul wang tidak dapat membeli kebahagian, hadapi saja dengan rock n roll. Saya yakin dan percaya. Nasib baik wang simpanan saya masih cukup untuk membeli semula tiket baru.

Playlist: The Popguns, Camera Obscura, Marsheaux, Popsircle

Wednesday, December 12, 2007

Sedikit Cerita Tentang Kasut

Dua hari selepas saya membeli kasut baru, saya memakainya untuk kali pertama ke tempat kerja. Saya tidak menemui cara berjalan saya yang semalam, kaki saya jadi sedikit kaku barangkali malu dengan pasangan barunya. Bau kedai dan bersihnya kasut saya berbanding dengan seluar jeans saya membuatkan saya jadi paranoid dengan orang-orang risau kalau-kalau orang memerhatikanya. Saya berjalan persis robot yang tengah diuji kemampuanya pagi itu. Dari semalam lagi kasut baru ini juga sudah menjadi bahan bualan dikalangan kawan-kawan saya, semuanya bernada sinis dan pedas. kasut baru betul-betul memeningkan kepala.

Dulu sewaktu saya berada dalam tingkatan berapa ntah saya pernah mengalami satu keadaan dimana kasut baru yang ibu saya belikan sempena hari raya membuatkan saya hampir-hampir tak boleh berjalan. Ini kerana kasut tersebut membuatkan bahagian atas tumit saya membengkak, keadaan tak boleh berjalan ini hanya saya rasai pada keesokkan harinya selepas semalam saya meronda semalaman dengan kasut tersebut, kalau laa kasut itu kasut Nike berharga RM300 sudah pasti saya tak perlu menahan kesakitan kaki waktu itu, tapi sayangnya itu kasut murah.

Saya juga masih ingat dulu sewaktu ibu saya memarahi abang saya kerana abang saya menggosokkan sedikit tanah pada kasut barunya dengan alasan supaya kasut baru yang baru ibu saya belikan untuknya itu tidak kelihatan baru, mungkin dia lebih merasa rock n roll kalau dia kelihatan sedikit selekeh ke sekolah, saya hanya melihat abang saya ke sekolah dengan wajah yakin pagi itu. Kini baru saya sedar betapa rocknya abang saya waktu itu haha.

----------------------
Playlist: Popsircle, The Sundays, Missing Person, Blondie, Kafka, Tiger Baby, Bunga Cinta Lestari, Sambasseduer, Seabear, Eisley, Pigsty, Jedi Mind Trick, Saywhy?, Lycantrophy.

Monday, July 23, 2007

Hujan Zaman ini

Hari ini hujan turun lebih awal, sekaligus membuat semua rancangan saya tergendala. Saya reda dengan semua ini, sememangnya tak semua yang kita rancangan akan termakbul. Namun begitu hujan yang turun tak henti-henti kadang-kadang merimaskan juga. Perut perlu diisi dan tekak harus dibasahkan. Untuk semua itu saya tak sanggup mengharungi hujan lebat petang itu.

Sejak kecil lagi saya sudah mendengar orang-orang yang lebih tua dari saya berkata "Hujan itu Rahmat". Dan mungkin masa sudah berlalu dan kata-kata itu sudah tidak selamanya betul. Orang bujang contohnya. Seperti saya, bila lapar akan mencari kedai terdekat untuk menyempurnakan hajat, ini cara orang bujang yang hidup di bandar, seperti petang ini, lapar menjadi teman rapat saya sementara menanti hujan reda. Hujan yang berpanjangan juga merisaukan orang-orang tertentu, bayangkan saja longkang-longkang yang tersumbat dengan banyaknya sampah sekarang ini, semua itu tidak perlu masa lama untuk menenggelamkan bandar KL. Silap hari bulan ada diantara kita yang terpaksa naik bas pergi kerja kerana keretanya ditenggelami air. semuanya mungkin.



Band dan penyanyi solo yang menjadi pilihan waktu ini:
- My Teenage Stride, Assuck, Fistfuck, Destruction, The Charade, Stacey Kent, Billie Holiday, Camera Obscura, California Snow Story, The Boyfriend, Strange Idol.

Monday, February 12, 2007

hujan ohh hujan

Petang tadi saya duduk sendiri bersantai menghabiskan waktu menikmati tea panas gelas besar sambil dikelilingi suasana petang sesudah hujan. Indah, itu yang dapat saya gambarkan dari apa yang saya lihat petang itu. Selalu saya mengidamkan suasana sebegini. Dan memang sejak dua tiga hari ini saya menyaksikan hujan sudah mulai turun memonopoli waktu siang dan malam. Pastinya tidur lebih nyenyak time-time begini dan saya memungkinkan juga jualan kopi dan rokok akan meningkat kerana kebarangkalian orang yang keluar rumah melakukan aktiviti-aktiviti luar adalah kurang. Dalam keadaan hujan begini orang-orang lebih suka duduk diam dirumah minum kopi sambil hisap rokok. Itu semua mungkin.

Saya menterjemahkan hujan dalam sebuah bentuk yang punya kaitan rapat dengan beberapa perkara yang berkait dengan depresi dan kesedihan. Cukup dengan apa yang dapat kita lihat dengan lebih jelas di beberapa tempat di sekitar tempat di malaysia ini sekarang ini. Banjir maksud saya.

Kata Pam dalam jurnalnya, dia memetik kata-kata Gustaff yang baru beberapa hari pulang dari Finland, dia berkata peratus kematian akibat kejadian bunuh diri disana meningkat dan ada teori yang mengatakan bahawa ini adalah disebabkan oleh matahari yang hanya muncul dua bulan pada setiap tahun dan selebihnya adalah mendung dan berawan seterusnya membawa kepada depresi.

Teringat saya kepada beberapa buah filem yang pernah saya tonton sebelum ini, dimana hujan digunakan untuk membantu meningkatkan bau kesedihan didalam sesebuah babak yang berkait dengan kesedihan. Dalam upacara pengkebumian contohnya. Saya mengambil satu contoh babak dalam filem Hell Boy, babak sewaktu mayat ayah angkatnya diusung untuk dikebumikan, Hell boy kelihatan berdiri diatas sebuah tingkat yang tinggi (jambatan barangkali) dan suasana hujan menaikkan lagi suasana kesedihan waktu itu. Dalam filem melayu juga contohnya, Kita masih ingat pada filem "Gila-Gila Remaja". Hujan lebat waktu itu digunakan untuk meraih dan menambahklan lagi emosi kesedihan penonton pada adegan dimana Roy yang ingin pergi lagi selepas menduduki peperiksaan selepas kembali dari pengembaraannya menaiki motor entah kemana. Tapi yang pasti orang yang paling sedih pada babak itu ialah heroin wanitanya (saya tidak tau namanya tapi agak hot hehe).

Hujan mengembalikan memori saya pada zaman kanak-kanak saya. Saya dan adik saya pasti tidak melepaskan peluang main hujan bersama dan peluang begini hanya wujud sewaktu ibubapa kami tidak berada dirumah.

...................................

PLAYLIST: Insect Warfare, Totalitar (disco), Celebral Turbulency, Gride, Proletar, Phobia, Destruction, Immortal Tecnique, Muse. Stars (The Calendar girl), Worship

Monday, November 06, 2006

Hari Selepas Hari Raya

Lapangan terbang Kota Kinabalu petang hari minggu itu jadi macam tempat berpesta. Pesta air mata, tapi sayu ditambah dengan suasana petang yang redup. Teringat saya pada cerita puteri gunung ledang, air mata ntah berapa tempayan perlu dipersembahkan padanya. Tapi cerita petang itu lain, tiada kaitan dengan cerita puteri gunung ledang, ini cerita biasa tentang pertemuan dan perpisahan.

Perhatiaan saya disebuah sudut kosong, berkumpul sebuah keluarga. Seorang wanita, entah siapa dia, barangkali seorang kakak, yang sekejap lagi akan masuk ke balai perlepasan meninggalkan adik-adiknya diluar, seorang demi seorang berpelukan denganya sambil air mata mereka jatuh tanpa was-was pada kedua mereka, mata mereka merah, pipi mereka basah. Saya berpaling ke arah lain mengelak melihat aksi begitu. Mendung hati saya. Di sudut lain, sepasang tua tak habis-habis memeluk dan mencium cucunya, saya pasti itu cucunya. Berat hati agaknya melepaskan cucu kecil mereka itu pergi. Seketika kemudian dua orang tua itu ditinggalkan diluar, cucunya dibawa pergi ibubapanya, mereka cuma mampu melambai sebagai tanda selamat jalan. Itu gambaran. Gambaran sedih petang itu.

Cerita petang itu bukan sebuah cerita yang perlu sangat untuk kita dengar. Itu cerita biasa. Namun, masih tetap saya anggap penting. Saya tau lah sebab saya juga orang Sabah. Sebuah tempat yang jaraknya berpuluh ribu kilometer dari Kuala lumpur. Perlu masa dan sejumlah wang yang banyak untuk urusan ulang alik. Berbeza dengan mereka yang kampungnya di Kuala kangsar atau di Rompin yang boleh pulang sebulan sekali sekurangnya. Pulang setahun sekali itu adalah cerita-cerita biasa kebanyakan orang-orang Sabah. Dan mungkin sebab itulah tarikh hari raya adalah antara tarikh terpenting pada sesetengah orang sabah seperti juga saya.

Ini semua desakan. Desakan hidup. Dan desakan inilah yang menyebabkan cerita-cerita petang itu sering saja berulang setiap kali saya datang ke lapangan terbang untuk pulang ke sini selepas berhari raya di kampung.

....................................
Playlist: Cripple Bastard,Gride,J-rocks,Elle A,The monophones,Aku

Thursday, October 19, 2006

Buffet dan Bulan Puasa ini

Tepat dua hari lalu saya menerima sebaris mesej melalui YM dari seorang kawan, "bunyinya mengajak saya berbuka puasa makan buffet bersama kawan-kawan tempat kerja lama dulu, semacam berbuka dan reunion laa agaknya. Sejumlah wang perlu disediakan untuk semua itu, itu antara syaratnya. Banyaknya hal-hal dan kekurangan saya menyebabkan saya tidak dapat join. Terpaksalah saya membiarkan kegembiraan makan dan berjumpa kawan-kawan yang lama tak jumpa terbuang begitu saja. Mungkin lain kali.

Baru beberapa hari lalu juga seorang kawan saya bertanyakan kalau-kalau saya tau dimana tempat buffet yang best. Semalam juga seorang kawan saya mengabarkan saya tentang sebuah restoran makanan segera multinasional buat buffet sepanjang bulan puasa ni. Buffet macam trend pulak, Kain rentang mempromosikan buffet ini saja boleh dilihat dimana-mana.

Ianya macam ritual manusia-manusia moden dibulan bulan puasa. Bulan ni saja sudah dua kali kali saya berbuka buffet, tahun-tahun lepas cuma sekali. Ruang-ruang hotel juga restoran jadi sibuk dengan orang-orang yang seharian berpuasa manahan nafsu lapar dan dahaga menunaikan antara lima rukun islam ini. Tarikanya apa? mungkin saja sebab boleh makan sampai pengsan dengan hidangan mewah seribu pilihan, Semacam tempat membalas dendam melampiaskan nafsu.

Teringat saya kata-kata AR Badul dalam drama bersiri "Puteri" beberapa minggu lalu, sewaktu diajak oleh anak saudaranya berbuka makan buffet di sebuah tempat yang ada buat offer buffet, katanya lebih kurang begini "tak payahlaa pegi buffet tu, membazir jer, bulan puasa ni masa untuk menahan nafsu". Kata-kata Badul semacam menyindir pulak. Bukan untuk saya saja rasanya, Kalau tokei-tokei hotel atau restoran yang ada buat buffet pun mesti terasa juga dengan kata-kata badul.

ramadan jadi bulan yang mengundang kebodohan, bulan dimana sang pemodal menjual segala keburukan untuk dijadikan kebaikan. Bulan meraikan kebodohan. Kata-kata badul tu cuma ulangan dari sejumlah banyaknya kata-kata ustaz yang pernah kita dengar sebelum-sebelum ini.
.........................................

Playlist semenjak dua menjak ini: Proletar, Cripple Bastard, Madeleine Peyroux, Diana Krall, Sheila Majid, Aku